MUAR, 6 September - Penganjuran Program Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ) & Jualan Agro Madani (JAM) membuka peluang perniagaan kepada 7 peserta usahawan tempatan di daerah ini sejak Isnin lalu.
Peserta yang terlibat akui program tersebut merupakan rezeki berterusan kepada mereka meskipun barangan dijual dengan murah berbanding harga pasaran.
Antara jualan menerima sambutan yang luar biasa ialah 1.5 metrik tan ayam dan 400 papan telur ayam habis dijual pada setiap hari.
“Katakanlah saya membawa kangkung dan sayur bayam 100 kilogram (kg), pada hari biasa agak susah nak habiskan tapi dengan program seperti ini… saya dapat habiskan jualan sayuran dalam tempoh 4 jam.
“Pengunjung juga dapat menikmati harga murah dari harga pasaran dan rantaian keuntungan rezeki dapat dinikmati oleh pekebun, penjual dan pengunjung,” kata Nora Ayub yang juga peniaga sayur-sayuran dan tanaman hijau.
Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu akan berakhir pada 8 September ini.
Program selama lima hari itu melibatkan 15 lot kanopi dan 5 lokasi berasingan di sekitar daerah itu.
Program Jualan Agro MADANI bermula pada April awal tahun di setiap daerah Johor Bahru mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia- barangan Runcit, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan usahawan minuman.
Pelbagai hasil agromakanan antaranya daging lembu, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan, produk hasil laut serta produk sejuk beku dijual antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.