fb fb fb fb fb

Jualan Kasih Johor ringankan beban rakyat sambut Aidilfitri

Foto RTM

PONTIAN, 5 April - Kira-kira 60 lokasi di seluruh Dewan Undangan Negeri Johor mengadakan Program Jualan Kasih Johor bermula 1 hingga 9 April bersempena dengan perayaan Aidilfitri 2024.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia bertujuan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menyediakan kemudahan dan pilihan kepada masyarakat terutama golongan B40 serta M40 melalui penawaran harga berpatutan. 

"Kita buat di seluruh Johor supaya seluruh rakyat johor merasai kesan bantuan ini.

"Kita semua sedar dan insaf bahawa dari segi kos sara hidup masih lagi dirasai oleh rakyat.

"Jadi sebab itu peruntukan yang asal pada tahun 2023, kita tingkatkan menjadi RM5 juta untuk jualan kasih sahaja untuk 2024. Jadi, kita tengok memang sambutan baik saya difahamkan pada pukul 10.00 barang-barang sudah habis sebab harga memang murah", kata Onn Hafiz yang ditemui semasa Majlis Pelancaran Jelajah Jualan Kasih dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2024 di Dataran Datuk Jalok, Benut, di sini.

Seramai 280,000 orang bakal menerima manfaat sepanjang tempoh program berlangsung melibatkan 700 orang usahawan.

Konsep jualan promosi berkenaan merupakan jualan secara tampungan harga bagi komoditi terpilih seperti ayam, ikan dan hasilan laut, telur pelbagai gred serta lain-lain dengan kuantiti tampungan jualan yang ditawarkan sebanyak 391 metrik tan. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD