KANGAR, 14 Mei- Sebanyak 117 program Jualan Agro Madani telah dilaksanakan di Perlis bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan berkata pihaknya menyasarkan 233 program berkenaan sehingga penghujung tahun ini.
Katanya, menerusi program itu, nilai jualan mencatat lebih RM1 juta.
"Setakat ini, seramai 878 usahawan terlibat.
"Pelaksanaannya tertumpu di outlet peruncitan FAMA, pasar tani, pekarangan pejabat FAMA negeri serta masjid terpilih.
"Secara keseluruhannya, program ini telah memberi manfaat kepada 24,000 rakyat negeri Perlis bagi mendapatkan barangan segar pada harga lebih berpatutan berbanding harga pasaran," katanya menerusi kenyataan.
FAMA Perlis menyasarkan nilai jualan sebanyak RM2.65 juta sepanjang program jualan berkenaan tahun ini.
Ia menerusi penglibatan 1,476 usahawan yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 penduduk di Perlis.