fb fb fb fb fb

Jualan Agro Madani 2024, FAMA sasar nilai jualan sebanyak RM57.5 juta

Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Abd Rahman Mahmood

KOTA BHARU, 15 Januari- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM57.5 juta bagi program Jualan Agro Madani 2024 yang bakal diadakan di 5,000 lokasi di seluruh negara sepanjang tahun ini.
 
Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Abd Rahman Mahmood berkata inisiatif itu dijangka akan memberi manfaat membabitkan 7.2 juta isi rumah dengan nilai penjimatan dianggarkan RM17.25 juta.

Katanya, program itu memberi impak besar kepada pengguna dan menjadi program serampang tiga mata di mana memberi faedah pada pengeluar, usahawan dan pengguna.
 
"Pada tahun ini, hala tuju kita akan lebih ke hadapan lagi menerusi Kombo Madani yang kita lancar di Program Agro Madani dan melibatkan aspek kesihatan. Kita nak terapkan nilai jimat dan sihat."

"Oleh sebab itu, kita ubah budaya pemakanan di negara ini supaya rakyat daripada peringkat kanak-kanak sudah terbiasa dengan budaya makanan yang sihat ini," kata Abd Rahman kepada pemberita selepas meninjau Jualan Agro Madani di RTC Tunjung Kota Bharu, hari ini.
 
Inisiatif Jualan Agro Madani diadakan melalui tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan iaitu FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebagai strategi membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya kumpulan B40 menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi.
 
Antara aktiviti jualan yang dilaksanakan termasuk pelbagai barangan keperluan agromakanan seperti produk segar sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging dan telur secara terus dari ladang pada harga 10 peratus ke 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan.
 
Pada tahun lalu, program berkenaan mencatatkan nilai jualan melebihi sasaran iaitu RM90.8 juta selepas diadakan di 5,271 lokasi seluruh negara, membabitkan 73,508 usahawan.
 
Program itu juga berjaya mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM27.2 juta kepada 10.5 juta isi rumah pada tahun lalu.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM