JR RTM 2026 kini di Kelantan, santuni golongan kurang bernasib baik

JR RTM 2026 kini di Kelantan, santuni golongan kurang bernasib baik.

KOTA BHARU, 22 Februari – Program Jelajah Ramadan RTM 2026 edisi ke-14 kini berada di Kelantan sebagai lokasi ke-enam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Jelajah Ramadan RTM 2026 edisi ke-14 kini berlangsung di Kelantan, lokasi keenam jelajah.
  • Aktiviti Ziarah Kasih melibatkan sumbangan wang zakat dan barangan keperluan kepada golongan kurang bernasib baik.
  • Sumbangan disalurkan bersama rakan strategik kepada asnaf dan 50 anak yatim dari Rumah Kebajikan Darul Aitam.
  • Acara diadakan di Kampung Atas Paloh dan Dataran Masjid Jamek Muhammadi, tumpuan masyarakat Kelantan untuk berbuka.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program tersebut hari ini termasuk Ziarah Kasih dan penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan.

Penerbit Program Ziarah Kasih, Safavi Zakaria @ Mohamed berkata, Program Jelajah Ramadan RTM 2026 menjadi medan terbaik warga Jabatan Penyiaran negeri Kelantan bersama skuad jelajah mendekati dan menghulurkan sumbangan berbentuk wang zakat dan barangan keperluan dapur kepada golongan kurang bernasib baik.

Aktiviti ziarah kasih dengan kerjasama rakan strategik Raja Perfume x Lavabelle dan BABA’s mengunjungi empat buah rumah asnaf di Kota Bharu agar mereka tidak berasa tersisih dalam menyambut kemeriahan ramadan.

Tambahnya, “Saya rasa ni satu keperluan untuk kita bila kita melihat bulan Ramadan bulan yang penuh dengan kemuliaan jadi bila bulan penuh kemuliaan ni ada sedikit sumbangan yang diberikan oleh pihak penaja kita hulurkan dan kongsikan kepada mereka-mereka yang sangat memerlukan dalam bulan yang mulia ni.”

Beliau ditemui pemberita di Program Ziarah Kasih sempena Jelajah Ramadan RTM 2026 peringkat negeri Kelantan di Kampung Atas Paloh, Kota Bharu.

Sementara itu, penerima bantuan menzahirkan rasa syukur dengan keprihatinan kepada mereka.

Program diteruskan ke Dataran Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu bagi aktiviti Forum Islam dan penyampaian sumbangan zakat kepada 50 anak yatim dari Rumah Kebajikan Darul Aitam.

Turut hadir Pengarah Penyiaran Kelantan, Ivan Toh.

Menurut Penyelaras Program Jelajah Ramadan 2026 negeri Kelantan, Noor Hamidya Mohd Fauzi, lokasi tersebut menjadi lokasi jelajah Ramadan di negeri Kelantan berikutan ia merupakan masjid negeri yang menjadi tumpuan masyarakat Kelantan untuk berbuka puasa setiap kali bulan Ramadan.