BACHOK, 19 Julai – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi tumpuan kepada pelaksanaan pendaftaran kad pengenalan dan pemakaian mikrocip terhadap kuda, khususnya di Kelantan dan seterusnya di seluruh negara.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Akma Ngah Hamid berkata inisiatif tersebut bertujuan untuk memudahkan pemantauan bilangan kuda serta memudahkan kawalan penyakit sekiranya berlaku penularan wabak haiwan.
“Melalui kempen ini, kita jalankan pendaftaran kuda serta menanam mikrocip atau ‘pet passport’. Ini termasuk keperluan mendaftarkan premis atau kandang (stable) kuda dengan JPV agar kita dapat mengesan (traceability) jumlah sebenar kuda yang terdapat di negeri ini.
“Langkah ini penting supaya kawalan penyakit dapat dilaksanakan dengan lebih cekap sekiranya berlaku sebarang wabak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebajikan Haiwan Peringkat Kebangsaan 2025 dan Pendaftaran Kad Pengenalan Kuda di Resort Sri Nipah, di sini hari ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Akma Ngah Hamid (tengah) menunjukan kad pengenalan haiwan / Foto Bernama
Pada majlis tersebut, sebanyak 43 ekor kuda berjaya didaftarkan dan dipasang mikrocip.
Menurut beliau, pendaftaran itu juga bertujuan memberi kesedaran kepada pemilik mengenai tanggungjawab mereka terhadap kebajikan haiwan, seperti yang diamalkan ke atas haiwan peliharaan lain.
Dalam perkembangan lain, Dr Akma memaklumkan pihaknya telah menerima sebanyak 2,055 aduan berkaitan penganiayaan dan kebajikan haiwan di seluruh negara, bagi tempoh Januari hingga 10 Julai 2025.
Aduan tersebut melibatkan pelbagai jenis haiwan termasuk kucing, anjing dan haiwan ternakan lain, dan kes disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
“Individu yang disabitkan kesalahan kerana gagal memenuhi keperluan kebajikan haiwan boleh dikenakan denda tidak kurang RM15,000 dan tidak melebihi RM75,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya,” katanya.