fb fb fb fb fb

JPSM sahkan tiada pembalakan, penerokaan haram di Ulu Muda - Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad mengadakan lawatan ke surau SMA Tarbiah Diniah sempena Lawatan Kerja Program Rumah Ibadat Hijau di Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah di sini

KULIM, 28 Januari - Tiada sebarang kegiatan pembalakan atau penerokaan haram di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) di Sik.

Perkara itu disahkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata walaupun pihaknya telah menerima laporan berkenaan daripada JPSM, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan perkara terbabit benar-benar tidak berlaku.
 
Beliau berkata lembangan di kawasan hutan simpan itu sangat sensitif kerana melibatkan bekalan air untuk tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
 
"Hari itu kita ada minta laporan daripada pihak JPSM, laporan awal yang kita terima adalah tidak ada aktiviti pembalakan ataupun penerokaan yang haram, tetapi kita akan terus teliti sebab kita terima aduan daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

"Apa yang dikatakan data-data daripada satelit dan sebagainya untuk kita meneliti lanjutlah untuk memastikan memang betul tidak ada pencerobohan di sana tetapi kita memantau dekat sebab itu adalah satu lembangan yang sangat sensitif dan melibatkan bekalan air untuk tiga buah negerilah," kata Nik Nazmi dalam sidang media sempena Lawatan Kerja Program Rumah Ibadat Hijau di Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah, di sini.
 
Baru-baru ini, NGO berkaitan alam sekitar RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda yang menjadi sumber air utama kepada pengguna Pulau Pinang dan Kedah, mengalami masalah mendapan selut. 
 
Kajian itu dilakukan menerusi pantauan imej satelit yang mendapati Empangan Muda mula mengumpul mendapan selut sejak Mac 2023, selain keadaan itu didapati semakin membesar pada Oktober lepas.
 
Sementara itu, Nik Nazmi berkata cadangan untuk menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda bagi menguruskan sumber air di kawasan tadahan air Ulu Muda bukanlah suatu perkara yang baharu.
 
Beliau berkata, pengurusan sumber air terletak bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan ia terkandung dalam perlembagaan.
 
Justeru, pendekatan yang diambil Kerajaan Persekutuan ialah untuk menggalakkan perbincangan antara kerajaan-kerajaan negeri terlibat.
 
Cadangan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda dikemukakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan entiti itu bagi menguruskan sumber air di kawasan tadahan air di Ulu Muda.
 
Bagaimanapun Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kemudian dilaporkan menyifatkan cadangan itu sebagai tindakan campur tangan dalam hal ehwal wilayah Kedah dan bertekad tidak akan membenarkan cadangan seumpama itu dilaksanakan selagi Kedah berada bawah pentadbirannya.
 

TETITIA YUSOFF