KUCHING, 5 Februari- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis ramalan awal kemungkinan banjir melibatkan beberapa kawasan baharu di Sarawak bermula hari ini hingga esok.
Ramalan itu susulan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) bagi beberapa kawasan di negeri itu, pagi tadi.
JPS dalam satu kenyataan memaklumkan, ramalan banjir melibatkan Kuching (Daerah Kuching Bau dan Lundu), Serian (Daerah Serian dan Siburan), Samarahan (Daerah Samarahan, Asajaya dan Simunjan) serta Sri Aman.
Turut terlibat, Betong (Betong dan Saratok), Sarikei (Julau, Meradong, Pakan dan Sarikei), Sibu (Sibu, Selangau dan Kanowit), Mukah (Tanjung Manis, Dalat, Daro, Matu dan Mukah) serta Bintulu (Bintulu, Tatau dan Sebauh).
JPS akan membuat pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir jika hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai terlibat.
Banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh jangkaan.