fb fb fb fb fb

JPS perlu tingkatkan kutipan hasil hutan capai sasaran RM165 juta - Hajiji Noor

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU, 4 Mei - Jabatan Perhutanan Sabah perlu berusaha meningkatkan kutipan hasil hutan untuk mencapai sasaran RM165,000 juta yang ditetapkan tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,  berkata, sasaran itu meliputi anggaran pengeluaran hasil hutan sebanyak 920,000 meter padu daripada kawasan hutan simpan, tanah kerajaan dan juga tanah bergeran, dengan lebihan hasil sebanyak RM10 juta berbanding hasil kutipan pada 2023.

Menurut Hajiji, setakat Mac tahun ini, JPS telah berjaya mengutip RM39.7 juta atau 24 peratus daripada sasaran sebenar.

"Usaha murni untuk memperkasakan aktiviti rekreasi hutan bukan saja membantu konservasi negeri, malah memberikan pilihan rekreasi kepada masyarakat umum yang mahukan kepelbagaian kawasan untuk dilawati di Sabah.

"Sejajar dengan komitmen untuk memperkasakan tatakelola pengurusan hutan secara berkekalan, JPS menyasarkan supaya semua kawasan pengurusan hutan dipersijilkan di bawah mana-mana skim pensijilan yang diterima di peringkat antarabangsa menjelang 2025.

“Setakat ini, seluas 280,616 hektar kawasan pengurusan hutan telah menerima pensijilan,”  katanya pada Majlis Apresiasi Perhutanan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Datuk Hajiji juga mahu JPS menerokai lebih banyak peluang penjanaan hasil melalui hutan, antaranya, aktiviti rekreasi berasaskan hutan dan pembayaran perkhidmatan eko-sistem hutan.

Menyentuh kawasan ladang hutan, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan seluas 18,000 hektar kawasan ladang hutan dibangunkan setiap tahun.

"Ia bagi mencapai sasaran 400,000 hektar ladang hutan menjelang 2036, seiring Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036," katanya.

Majlis Apresiasi Perhutanan 2024 ini menyaksikan penyampaian anugerah kepada 63 penerima bagi menghargai sumbangan serta prestasi mereka.

GRACE AISYAH KEDAYAN