MASJID TANAH, 5 Januari- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan tiga projek Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di Melaka tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata projek itu dilaksanakan di DSK Sungai Malim (berhampiran pintu air Klebang), DSK Sungai Jeram (bersebelahan Stadium Hang Jebat) dan DSK Parit Besar (bersebelahan Universiti Islam Melaka).
"Ia bukan sahaja untuk memastikan sungai atau saliran itu dalam keadaan bersih, tetapi boleh digunakan oleh orang awam. Jadi ini dua dalam satu, ini bukan sahaja untuk trek joging dan sebagainya, ini untuk memastikan saliran ini tidak berlaku banjir. Bila bersih tidak terhalang dan sebagainya. Jadi saliran itu lebih baik", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perasmian Denai Sungai Kebangsaan Parit Besar sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Kuala Linggi di Masjid Tanah.
Mengulas lanjut katanya, pada tahun ini tiga lagi DSK dirancang akan dibina, namun ia bergantung pada peruntukan yang akan diterima daripada Kerajaan Persekutuan.