fb fb fb fb fb

JPNS perkasa strategi rapatkan jurang prestasi pencapaian SPM bandar dan luar bandar

Sidang media Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, JPNS

KUCHING, 27 Mei- Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, JPNS akan memperkasa starategi merapatkan jurang prestasi pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia, SPM antara kawasan bandar dan luar bandar.

Pengarah Pendidikan Sarawak, DatuK Dr Azhar Ahmad memberitahu walaupun pencapaian SPM di kawasan luar bandar meningkat, tetapi indikasi masih menunjukkan jurang iaitu sebanyak 0.64 mata.

Katanya, ke arah itu JPNS telah mengatur strategi antaranya dialog prestasi berfokus di daerah tertentu serta meningkatkan jumlah kelas tambahan di kawasan luar bandar.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas sidang media di Kuching hari ini.

Namun katanya, prestasi sekolah luar bandar kali ini tetap meningkat dan ia menunjukkan sesuatu yang positif.

Ujarnya, antara sebab yang dikenal pasti berkaitan peningkatan prestasi tersebut adalah kemudahan bantuan kelas tambahan serta sokongan ibu bapa pelajar itu sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa setakat ini, Sarawak mencatatkan kekosongan jawatan guru bagi sekolah Menengah adalah sebanyak 184 kekosongan.

Katanya, ia adalah kekosongan yang sangat minimum dan adalah menjadi usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia, KPM untuk menampung kekosongan tersebut.

Sementara itu, Datuk Dr Azhar memaklumkan, pencapaian calon SPM 2023 Sarawak menunjukkan peningkatan, berbanding tahun sebelumnya dengan 4.92, Gred Purata Negeri, GPN sekali gus rekod terbaik dalam tempoh sedekad.

Peningkatan tersebut katanya adalah sebanyak 0.15 mata dan merupakan pencapaian terbaik sepanjang pelaksanaan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah disyaratkan sebagai subjek wajib lulus SPM sejak 2013.

Tambahnya, berdasarkan GPN, pencapaian calon bandar meningkat sebanyak 0.16 mata iaitu 4.54 mata berbanding 4.70 tahun sebelumnya manakala calon luar bandar juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.14 mata iaitu 5.18 mata.

"Daripada 32,588 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, KPM yang menduduki SPM tahun 2023, seramai 726 calon memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran,"katanya.

Jelasnya lagi, bagi prestasi mata pelajaran pula, sebanyak 47 daripada 78 mata pelajaran telah mencatatkan peningkatan termasuk enam mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif Sains Tulen dan Matematik Tambahan, manakala 25 mata pelajaran pula telah mencatatkan penurunan sementara enam mata pelajaran mencatatkan prestasi konsisten.

Manakala, bilangan calon yang layak menerima sijil SPM tahun 2023 juga menunjukkan peningkatan sebanyak 1.93 peratus iaitu daripada 29,928 kepada 30,356 orang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE