fb fb fb fb fb

JPNK sedia langkah alternatif, bantu calon SPM di Kelantan hadapi banjir

Foto BERNAMA

PASIR MAS, 1 Januari- Seramai 601 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikenal pasti berisiko terjejas sekiranya berlaku banjir gelombang keempat di Kelantan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK), Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata mereka terdiri daripada calon yang akan menjalani peperiksaan tersebut bermula 30 Januari hingga Mac tahun ini.

Jelas beliau, tujuh pusat peperiksaan dikenal pasti berisiko banjir iaitu enam di daerah Pasir Mas dan satu di Tumpat.

Pusat peperiksaan itu ialah SMK Rantau Panjang, Maahad Muhammadi Rantau Panjang, SMUA Diniah Bongor, SMUA Al-Falah Siram, SMK Meranti dan SMUA Tarbiah Diniah Meranti manakala di Tumpat, pusat peperiksaan terlibat ialah SMUA Nurul Huda Kajang Sebidang.

"Tindakan awal telah diambil JPNK dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan calon terlibat dapat menjalani peperiksaan mengikut jadual ditetapkan sekiranya berlaku bencana tersebut.

Calon akan ditempatkan di asrama atau sekolah berdekatan bagi melancarkan pergerakan mereka ke pusat peperiksaan," jelas Datuk Mohd Zamri ketika dihubungi pemberita.

Tambahnya, calon dinasihatkan untuk memaklumkan segera kepada pihak sekolah atau JPNK, sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran, disebabkan bencana.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM