KUALA TERENGGANU, 17 Mei- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu memandang serius insiden pembakaran terbuka yang telah berlaku di dalam kawasan sebuah sekolah harian di sini baru-baru ini.
Pengarah JPN Terengganu Abdul Muie Ngah menegaskan sebarang aktiviti pembakaran terbuka tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali selaras dengan saranan pihak berkuasa.
Ini termasuk arahan berkaitan penangguhan aktiviti luar darjah yang melibatkan pelajar dan guru ketika cuaca panas ini.
Peringatan itu juga turut disampaikan kepada kontraktor-kontraktor pembersihan yang telah dilantik bagi kerja-kerja pembersihan di dalam kawasan sekolah seluruh negeri ini.
Tambahnya, insiden pembakaran terbuka tersebut masih dalam siasatan.
"Kita telah mengingatkan semua kontraktor-kontraktor yang berkaitan dengan kebersihan sekolah memastikan tidak berlaku pembakaran terbuka dan bukan itu sahaja kita mengingatkan semua warga pendidik bahawa kita tertakluk pada akta dan SOP yang telah ditetapkan berkaitan dengan pembakaran terbuka," katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dikejarkan ke sebuah sekolah bagi memadamkan kebakaran yang merebak ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di dalam kawasan sekolah itu.
(Tambahnya, insiden pembakaran terbuka tersebut masih dalam siasatan)