JPN P. Pinang tidak bercadang laksana PdPR

Foto hiasan

GEORGE TOWN, 30 Mac – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang tidak bercadang untuk melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keutamaan memastikan murid hadir ke sekolah untuk kesinambungan pembelajaran fizikal dan lebih berkesan.
  • PDPR hanya dipertimbangkan jika berlaku situasi tertentu dan digunakan sebagai langkah terakhir.
  • Elakkan keciciran pembelajaran yang terlalu besar dengan mengekalkan pembelajaran di sekolah seboleh mungkin.
  • Lawatan Pengarah ke SK Sungai Gelugor memeriksa kesediaan sekolah mematuhi garis panduan.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, keutamaan ketika ini memastikan murid terus hadir ke sekolah bagi menjamin kesinambungan pembelajaran secara fizikal dan lebih berkesan.

Bagaimanapun, sekiranya berlaku situasi tertentu, pelaksanaan PDPR masih boleh dipertimbangkan mengikut keperluan semasa.

“PDPR kita letakkan sebagai langkah terakhir kerana kita tidak mahu berlaku keciciran pembelajran yang terlalu besar. Seboleh mungkin, pembelajaran akan dijalankan di sekolah seperti biasa.

“Sekiranya timbul situasi tertentu, seperti di Kedah, barulah ruang untuk melaksanakan PDPR akan digunakan. Namun, dalam konteks kita sekarang, kelas masih dijalankan secara bersemuka seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Lawatan Pengarah Pendidikan ke Sekolah Bagi Kesediaan Sekolah Patuhi Garis Panduan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor.