SEREMBAN, 27 Oktober-Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan pentadbiran negeri, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Jelas Aminuddin, pihaknya berharap kepimpinan yang dilantik di peringkat akar umbi akan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan negeri di samping berkhidmat tanpa mengira ideologi politik dan bangsa.
"Ini merupakan satu pelantikan yang agak ketara dan yang pentingnya kesemua daripada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, mendapat keadilan yang baik, di mana kuota ambilan 50-50.
"Sebagai pemimpin akar umbi kita laksanakan tanggungjawab bagi memastikan kampung-kampung dapat diuruskan dengan baik dan ditadbir dengan baik di masa akan datang. Ini merupakan harapan", jelas Aminuddin ketika ditemui pemberita pada Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Sembilan Penggal 2023-2025 di sini.
Pada majlis tersebut, seramai 394 Pengerusi dan 394 Setiausaha daripada 40 buah Kampung telah menerima watikah pelantikan.
Tambahnya, lebih ramai golongan wanita yang dilantik kali ini sebagai setiausaha sekali gus membuktikan bahawa golongan itu terus diiktiraf untuk menjadi pemimpin masyarakat di negeri berkenaan.
Dalam perkara berkaitan, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan ditugaskan bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada Palestin.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, kerajaan negeri berharap setiap rakyat dapat memberikan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing bagi solidariti kepada Palestin yang kini sedang berdepan peperangan.
Ujarnya, setiap ketua kampung ditugaskan mengutip dana di setiap rumah penduduk di seluruh negeri agar ia dapat disalurkan kepada Palestin.
"Inilah semangat kita. Kita ingin tunjuk kepada semua bahawa rakyat di negeri ini bukan sekadar hanya bercakap. kita hendak 10 sen atau RM1 sebagai sumbangan supaya sampai ke masyarakat Palestin di Gaza", kata Aminuddin.
Dalam pada itu, Aminuddin turut menasihati rakyat di negeri itu agar mengambil iktibar dengan situasi yang berlaku di Palestin serta mencontohi sikap rakyatnya yang tetap berjuang mempertahankan Palestin meskipun menerima ancaman dari Israel sehingga kehilangan nyawa.