PUTRAJAYA, 6 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyambut baik pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengenai pelaksanaan penggunaan kamera badan bagi anggota penguat kuasa jabatan itu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, memaklumkan bahawa permohonan tersebut telah dibuat sebelum ini dengan matlamat untuk meningkatkan ketelusan dan integriti dalam penguatkuasaan.
Menurut beliau, langkah ini juga bertujuan melindungi anggota JPJ daripada tuduhan tidak berasas, disamping memastikan keselamatan mereka semasa menjalankan tugas.
JPJ akan mengemukakan permohonan rasmi untuk perolehan kamera badan kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan pada tahun ini.
"Penggunaan kamera badan ini juga dapat mengelakkan elemen salah laku integriti kerana setiap pergerakan dan aktiviti anggota penguat kuasa akan direkodkan oleh kamera tersebut", katanya.
"Jika perolehan ini dapat diselesaikan, kami akan melaksanakannya secepat mungkin. Pihak JPJ juga telah menyediakan dokumen operasi rasmi (DOR) atau prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan pelaksanaan kamera badan ini berjalan lancar.
Beliau berkata demikian dalam sesi Temu Bual Khas bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).