KUALA TERENGGANU, 16 Mei- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sasarkan kutipan hasil lebih RM5 bilion hingga akhir tahun ini.
Jangkaan itu berdasarkan program serta inisiatif pendigitalan yang dilancarkan oleh jabatan itu mutakhir ini.
Ketua pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata berkata hasil kutipan terbesar JPJ setiap tahun disumbangkan menerusi cukai jalan dan proses pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), lebih 60%.
Kutipan hasil JPJ adalah antara tertinggi negara selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
"Kita menjangka kutipan hasil kita melebihi RM5 bilion pada tahun ini, mengambil kira inisiatif-inisiatif pendigitalan yang kita lancarkan untuk masyarakat.
Ini akan lebih memudahkan masyarakat, walau bagaimanapun kerjasama masyarakat adalah diseru supaya menggunakan kemudahan berkenaan selain daripada segi penguatkuasaan juga kita akan lakukan inovasi," kata Zailani kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Kios JPJ Negeri Terengganu di Ibu Pejabat JPJ Kuala Terengganu.
(Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim merasmikan Rumah Kios JPJ Negeri Terengganu di Kuala Terengganu)
Setakat ini, terdapat 201 Rumah Kios JPJ di seluruh negara dan sebanyak RM120.7 juta hasil berjaya diperoleh menerusi perkhidmatan itu.