fb fb fb fb fb

JPJ Perlis periksa motosikal percuma, 684 lesen tamat tempoh

(FOTO JPJ PERLIS)

ARAU, 19 September- Sebanyak 684 buah motosikal dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh melebihi tiga tahun telah diperiksa secara percuma melalui perkhidmatan 'Outreach' JPJ Perlis Bersama Komuniti, sepanjang Januari hingga Ogos lalu.

Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pihaknya telah 'turun padang' di lebih 50 lokasi seluruh negeri untuk memberi perkhidmatan tersebut.

"Menyedari bahawa kepentingan memiliki LKM dan Perlindungan Insurans yang berkuatkuasa, JPJ Negeri Perlis telah turun padang di lebih 50 lokasi seluruh negeri untuk memberi perkhidmatan pemeriksaan secara percuma motosikal LKM yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.

"Tanpa LKM dan Perlindungan Insurans yang berkuatkuasa, banyak kesusahan akan dihadapi apabila terlibat dalam kemalangan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi boleh menyusahkan pengguna jalan raya lain," katanya.

Fatimah berkata, program berkenaan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat dan akan dilaksanakan secara berkala.

Berdasarkan data terkini, lebih 600 Notis Saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan, sepanjang Operasi Khas Motosikal di seluruh negeri, bermula sejak 1 September lalu.

(FOTO JPJ PERLIS)

Media Baharu