KANGAR, 10 Julai - Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) Perlis berjaya mengutip kompaun saman sebanyak RM1,574,140.00 bagi tempoh Januari hingga Jun 2024.
Jumlah kompaun berkenaan meningkat sebanyak 37.56 peratus atau RM591,250.00 berbanding tempoh sama pada tahun 2023 dengan jumlah kompaun dikutip hanya RM982,890.00.
Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah dalam kenyataannya memaklumkan, jumlah kompaun yang dikutip adalah hasil 13,430 notis saman atas pelbagai kesalahan yang dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.
Selain daripada peningkatan jumlah kutipan kompaun dalam tempoh enam bulan itu, JPJ turut berjaya meningkatkan pengeluaran notis saman sebanyak 5,150 berbanding dengan tahun sebelumnya iaitu hanya 8,280 Notis Saman.
Antara kesalahan tertinggi melibatkan 5,796 notis saman bagi kesalahan berkaitan Pelesenan Kenderaan dan Tiada Perlindungan Insurans, diikuti 2,902 kes bagi kesalahan Pelesenan Pemandu dan 2,109 kes berkaitan kesalahan teknikal.
Manakala 2,623 kes lagi melibatkan pelbagai kesalahan yang diambil tindakan oleh Pasukan Operasi Khas JPJ Perlis.
"Bagi tempoh 6 bulan ini, Bahagian Penguatkuasa JPJ Perlis felah melaksanakan beberapa şiri Operasi Khas, antaranya ialah OPS Musim Perayaan Bersempena Sambutan Tahun Baru Cina ( OPS TBC), OPS Hari Raya Aidilfitri (OPS HRA), OPS Tiris Bersepadu, OPS Khas PeWA dan OPS Hari Raya Aidiladha (OPS HRAA)," kata Fatimah.
Hasil daripada penguatkuasaan yang berterusan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun 2024 menjadi pendukung kepada peningkatan jumlah saman dan kutipan kompaun JPJ Perlis.
Penguatkuasaan secara berterusan dan berfokus tersebut merupakan strategi yang dilaksanakan bagi meningkatkan pematuhan peraturan undang-undang jalan raya dan juga untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat daripada kecelakaan di jalan raya.