JPJ Kedah sita bas ekspres, pemandu tiada lesen sah

Bas membawa 31 penumpang dalam perjalanan dari Alor Setar ke Teluk Intan, Perak/ Foto FB JPJ Negeri Kedah

ALOR SETAR, 23 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita sebuah bas ekpsress selepas pemandunya didapati tidak mempunyai lesen memandu dan lesen vokasional yang sah menerusi pemeriksaan Op Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ Kedah menyita sebuah bas ekspres selepas pemandu tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten dan Lesen Vokasional sah.
  • Bas itu asalnya berdaftar sebagai bas persiaran dengan Lesen Perubahan Sementara dan beroperasi di luar kawasan diluluskan.
  • Penumpang terpaksa beli tiket baru selepas pengusaha gagal sediakan pemandu dan bas gantian; JPJ tegaskan tidak kompromi keselamatan.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, ketika pemeriksaan bas tersebut yang membawa 31 penumpang dalam perjalanan dari Alor Setar ke Teluk Intan, Perak.

Hasil pemeriksaan mendapati, pemandu bas gagal mengemukakan Lesen Memandu Kompeten serta Lesen Vokasional seperti diwajibkan bagi kenderaan pengangkutan awam.

“Siasatan lanjut turut mendapati bas berkenaan asalnya berdaftar sebagai bas persiaran dan telah memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina untuk beroperasi sebagai bas ekspress.

“Bas terbabit juga didapati beroperasi di luar kawasan yang diluluskan dalam lesen tersebut sebelum disita untuk tindakan lanjut”, katanya menerusi kenyataan kepada RTM.

Bagi menjaga kebajikan penumpang, JPJ Kedah mengarahkan pihak syarikat menyediakan pemandu berlesen sah serta bas gantian bagi memastikan perjalanan diteruskan dengan selamat.

“Bagaimanapun pengusaha bas yang berdaftar di Selangor itu gagal menyediakan pemandu dan bas gantian dan berjanji untuk membayar semula harga tiket penumpang. Kesemua penumpang terpaksa membeli tiket bas baharu dan menaiki bas lain untuk meneruskan perjalanan.

Tegas Stien Van Lutam, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran syarat lesen dan peraturan pengangkutan awam kerana ia melibatkan keselamatan nyawa pengguna.

Orang ramai disaran menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan kenderaan awam.