ALOR SETAR, 5 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah giat menjalankan kempen advokasi penggunaan cermin gelap dan nombor plat kenderaan kepada semua peringkat lapisan bermula daripada sektor kerajaan, sektor swasta serta pengguna kenderaan persendirian.
Kempen bermula 1 Julai lalu itu dilaksanakan Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat, JPJ Kedah.
Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam dalam kenyataan berkata, hasil operasi dan sekatan jalan raya yang dilakukan mendapati banyak kenderaan persendirian dan kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi spesifikasi pemasangan cermin gelap.
Pihaknya menjalankan advokasi dan sesi penerangan berkaitan penggunaan cermin gelap kenderaan kepada pemilik dan pemandu kenderaan yang terlibat.
"Selain itu, kempen advokasi di kedai-kedai aksesori kenderaan yang menyediakan perkhidmatan jualan dan pemasangan cermin gelap serta pemasangan nombor plat kenderaan turut dilakukan di sekitar Jalan Putra dan Jalan Alor Setar-Kangar," kata Stien Van.
Pihaknya turut mengedarkan risalah kepada pelanggan kedai aksesori kenderaan, penyerahan poster dan menampal poster pada kedai aksesori kenderaan serta advokasi berkaitan peraturan cermin gelap dan nombor plat kenderaan.
"Kempen sebegini akan dilaksanakan secara berperingkat dan menyeluruh melalui media sosial serta advokasi di jalan raya bagi mencapai visi dalam memupuk kesedaran kepada pemandu kenderaan tentang pematuhan dan peraturan undang-undang di jalan raya," katanya lagi.
Pamasangan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi kesalahan pertama.
Sabit kesalahan berikutnya boleh didenda tidak lebih RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.