fb fb fb fb fb

JPJ jalankan siasatan terhadap pemandu, pengendali sebabkan nahas rentung

(GAMBAR FAIL)

IPOH, 13 Mei - Siasatan di bawah audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) dilakukan ke atas pihak terlibat berhubung insiden kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar, Rabu lepas.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu bagi menentukan bentuk tindakan undang-undang sewajarnya yang boleh diambil.

Menurutnya, jika hasil siasatan daripada ICOP mendapati pemandu dan pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh APAD dan JPJ, tindakan gantung atau batal permit dan lesen pengendali boleh dilakukan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

(Kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan)

"Tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah.

"Selain itu, siasatan polis juga akan menentukan sabitan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta 333 akta sama kepada pemandu terbabit untuk hukuman mahkamah yang boleh mengakibatkan pemandu hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh yang ditentukan," kata kenyataan itu.

Semakan menerusi pengkalan sistem mySIKAP JPJ mendapati, pemandu treler berusia 28 tahun terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan yang telah selesai dan satu rekod kesalahan masih aktif dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

Katanya, jumlah mata demerit yang dikumpul akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

"JPJ memandang serius insiden yang telah berlaku ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di Malaysia.

Media Baharu