fb fb fb fb fb

JPJ bekukan cuti anggota penguat kuasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina

KUALA PILAH, 29 Januari - Cuti semua anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibekukan sepanjang tempoh penguatkuasaan khas sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang berlangsung sehingga 8 Februari depan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Aedy Fadly Ramli, ia melibatkan seramai 2,500 anggota termasuk 118 anggota dari JPJ Negeri Sembilan.

Ia berikutan jumlah kenderaan di jalan raya dijangka bertambah lebih 100 peratus berbanding tahun lalu sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina selepas ramai yang mengambil kesempatan pulang ke kampung susulan tidak dapat berbuat demikian akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

"Semua anggota penguat kuasa JPJ digerakkan ke seluruh negara untuk memastikan perjalanan orang ramai selamat sepanjang tempoh kempen keselamatan jalan raya ini sehingga 8 Februari," kata Aedy kepada media selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Op Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini.

Dalam pada itu, JPJ turut melaksana perintah larangan pemanduan kenderaan barangan yang berkuat kuasa dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan Tahun Baharu Cina iaitu pada Ahad dan Isnin ini serta 3 dan 4 Februari depan.

Larangan tersebut bertujuan mengelak risiko berlakunya nahas jalan raya akibat pertambahan aliran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan di jalan raya dan lebuh raya, selain mengelak kesesakan lalu lintas.

Media Baharu