fb fb fb fb fb

JPJ batal permit institut memandu ramai pemegang lesen terbabit nahas


KOTA BHARU, 30 Januari - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertindak membatalkan permit institut memandu dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod ramai pemegang lesen dari institut berkenaan terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, tindakan bakal dilaksanakan menerusi kaedah kod digital di lesen memandu pengguna jalan raya.

Katanya, langkah itu diambil JPJ bagi membantu mengurangkan statistik kemalangan jalan raya termasuk angka maut.

“Sistem kod yang akan diwujudkan ini juga adalah sebahagian daripada usaha pendigitalan sistem dan urusan berkaitan JPJ.Kod ini dapat mengenal pasti tempat belajar memandu pemandu yang terbabit dalam kemalangan dan sekiranya terlampau ramai dari institusi yang sama, maka permit mereka akan digantung atau dibatalkan, begitu juga sijil bagi tenaga pengajar berkait juga boleh ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM) Zon Timur di Akademi Memandu Anda di Melor, Kota Bharu.

Hadir sama, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Nik Azhan Ab Hadi.

Mengulas lanjut, jelasnya, Jawatankuasa Perlesenan Institut Memandu yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPJ berkuasa untuk mengambil tindakan sama ada menggantung atau membatalkan permit sesebuah institusi memandu dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang tidak berkelayakkan.

Bagi permit institut memandu, tindakan boleh diambil mengikut Kaedah 27 di bawah Kaedah-kaedah Sekolah Memandu 1992 untuk menggantung dan membatalkan permit bagi yang melanggar syarat permit.

Ujarnya, sebanyak 232 institut memandu di seluruh negara dengan 10,569 pengajar institut memandu bertanggungjawab memastikan setiap calon yang mendapat latihan adalah layak memandu di jalan raya.

Media Baharu