fb fb fb fb fb

JPA diminta senaraikan COVID-19 sebagai penyakit berjangkit

(Ibu bapa menemani anak mereka bagi mendapatkan suntikan Vaksin COVID-19)

AYER KEROH, 2 Mac - Kerajaan Melaka mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyenaraikan virus COVID-19 sebagai salah satu penyakit berjangkit yang memerlukan cuti kuarantin.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah itu akan memberi kemudahan kepada ibu bapa khususnya yang mempunyai anak bawah umur 8 tahun, untuk menjaga anak mereka yang dijangkiti tanpa perlu menolak cuti tahunan.

Cadangan tersebut dikemukakan susulan SOP baharu Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan, kontak rapat yang sudah lengkap vaksinasi dan tidak bergejala tidak perlu menjalani kuarantin dan boleh bekerja seperti biasa.

(Dr Muhamad Akmal dalam  sidang media selepas Persidangan Ke-2, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri)

"Saya percaya jika anak kecil mereka positif, tiada siapa yang mahu menjaga mereka sepanjang tempoh kuarantin antara tujuh hingga 10 hari, dan ibu bapa perlu mengambil cuti tahunan untuk menjaga anak mereka.

"Adalah tidak adil jika mereka terpaksa mengambil cuti tahunan dan ada dalam kalangan mereka terpaksa juga berkerja, sehingga mengganggu fokus pada pekerjaan.

"Bila senarai penyakit berkenaan dimasukkan dalam senarai penyakit berjangkit kesemua penjawat awam boleh mendapat cuti tanpa rekod selama lima hari," katanya.

"Jika anak mereka terkena seperti juga penyakit deman campak, HFMD dan empat penyakit yang lain maka mereka layak untuk mendapat cuti tanpa rekod dan lebih bagi memudahkan urusan mereka. Jika tidak hari ini mereka terpaksa ambil cuti tahunan,"kata Muhamad Akmal dalam sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini.

Mengulas mengenai pelaksanaan PICKids di Melaka beliau berkata, sehingga semalam liputan telah mencecah hampir 37%, kedua tertinggi selepas Sarawak.

Sepanjang tempoh pelaksanaannya, tiada kesan teruk dilaporkan, sekali gus membuktikan vaksin COVID-19 selamat untuk kanak-kanak.

 

Media Baharu