KULIM, 8 Mac- Kira-kira 6,000 pek bubur lambuk berjaya dimasak oleh 23 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sempena Program Gerak Rahmah 2025: Jom Masak Bubur Perpaduan Peringkat Negeri Kedah.
Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah itu diadakan di Pusat Aktiviti Perpaduan Kulim, Bandar Baharu, pagi tadi.
Program tersebut turut disertai masyarakat berbilang kaum sekali gus membuktikan semangat dan perpaduan kaum di negara ini terus utuh.
Suasana itu menunjukkan keharmonian dan perpaduan antara kaum yang telah wujud di negara ini sejak sekian lama terus dikekalkan.
Selain diagihkan di lokasi program, bubur lambuk turut diedarkan kepada komuniti setempat di kawasan masing-masing.
Program dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad.
"Bermacam-macam resepi yang telahpun dimasak oleh mereka, ada yang buat sup gear box, ada yang masukkan udang kering, bermacam-macam. Jadi sini kita tengok pelbagai menu makanan yang mereka hasilkan daripada kreativiti masak bubur lambuk ni. Jadi nampak semangat muhibbah yang ditunjukkan antara kumpulan itu", katanya kepada media di sini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah, Ahmad Puat Junus.
Sempena program tersebut, kotak bakul makanan Rahmah turut diagihkan kepada KRT terpilih.