
KULAI, 19 Januari – Kadar sewaan tapak Bazar Ramadan di Johor akan diselaraskan kepada RM500 sebulan, berbanding antara RM1,000 hingga RM1,500 sebelum ini, melibatkan empat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
- Kadar sewaan tapak Bazar Ramadan diselaraskan kepada RM500 sebulan bagi mengurangkan beban peniaga.
- Fasa pertama melibatkan MBJB, MBIP, MBPG dan Majlis Perbandaran Kulai.
- Sistem undian terbuka dicadangkan untuk pemilihan peniaga, dengan pendaftaran dalam talian dibuka di semua 16 PBT.
Cadangan penyelarasan berkenaan dilaksanakan Kerajaan Johor melalui PBT bertujuan mengurangkan beban peniaga, khususnya di kawasan Johor Bahru dan Kulai.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Mohd Jafni Md Shukor berkata cadangan itu sedang dibincangkan dan telah mendapat persetujuan beberapa pihak berkuasa tempatan di peringkat jawatankuasa ahli majlis.
“Peniaga bazar Ramadan bukan terdiri daripada golongan yang senang, justeru caj yang dikenakan perlu pada kadar minimum. Perkara ini telah dibincangkan dan mendapat sokongan ahli-ahli majlis,” katanya.
Fasa pertama cadangan itu melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan kerja rasmi di kawasan pentadbiran MPKu, pagi tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, sistem undian terbuka dicadangkan bagi pemilihan peniaga bazar Ramadan, dan tidak ditentukan oleh pihak tertentu.
Pada masa ini, pendaftaran secara dalam talian bagi peniaga tapak bazar Ramadan telah dibuka di semua 16 pihak berkuasa tempatan di Johor.