fb fb fb fb fb

Johor sedia bantu calonkan Chingay sebagai Warisan Budaya Dunia

Foto RTM

JOHOR BHARU, 10 Februari - Kesediaan Johor untuk menyokong usaha untuk mencalonkan Perarakan Chingay sebagai warisan budaya dunia kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) dianggap sebagai berita gembira buat masyarakat Tiong Hua di negeri berkenaan.

Presiden Persatuan Tiong Hua Johor Bahru,Ho Sow Tong berkata, pengumuman yang dibuat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini mampu meningkatkan aktiviti kesenian di samping menjadikan seni Chingay dikenali di serata dunia.

"Kita telah memohon untuk Chingay di masukkan dibawah UNESCO lima tahun yang lalu.

"Namun, disebabkan pandemik COVID-19.Usaha berkenaan tergendala. Kita telah bertemu dengan MOTAC dan kini sedang menanti pihak MOTAC untuk mencalonkannya ke UNESCO", kata Sow Tong.

Jelas Sow Tong, komitmen yang ditunjukkan kerajaan negeri turut diyakini dapat mencerahkan lagi peluang untuk meraih pengiktirafan antarabangsa berkenaan.

Tambahnya, permohonan bagi mendapatkan sokongan lanjut akan dikemukan kepada Kerajaan China serta Kerajaan Pulau Pinang, yang juga mengadakan perarakan Chingay secara besar-besaran.

Terdahulu, Onn Hafiz ketika berucap sempena Majlis Ramah Tamah Tahun Baru Cina di sini, memaklumkan sokongan penuh diberikan terhadap inisatif itu dalam memastikan budaya Chingay dapat diangkat ke mata dunia.


 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD