KLUANG, 23 Ogos – Johor melancarkan sembilan inisiatif khas bernilai RM3.87 juta bagi memperkukuh pembangunan, pemerkasaan dan kebajikan komuniti orang asli di seluruh negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelaksanaan inisiatif tersebut akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat orang asli termasuk ketua isi rumah, tok batin, pelajar universiti serta kemudahan awam di perkampungan.
“Saya berharap inisiatif-inisiatif yang diumumkan ini benar-benar dapat membantu masyarakat orang asli di seluruh Johor. Kalau rezeki Johor bertambah, kita di peringkat negeri juga akan menambah lagi peruntukan untuk orang-orang asli. Kerana apa? Kerana sayang orang hulu semohok,” katanya ketika merasmikan Festival Hari Orang Asli 2025, di sini.
Antara inisiatif yang diumumkan ialah bantuan tunai sekali bayar RM200 dan sumbangan bakul makanan RM100 kepada lebih 5,000 ketua isi rumah, bantuan tunai RM300 kepada 46 tok batin, sumbangan komputer riba kepada 73 pelajar universiti serta geran khas RM10,000 untuk kos pengurusan dan penganjuran program di 60 perkampungan orang asli.
Selain itu, peruntukan RM15,000 untuk menaik taraf kemudahan di 49 dewan serta balai raya, peruntukan RM10,000 untuk 37 masjid dan surau dan peruntukan RM10,000 bagi penyediaan kemudahan serta peralatan sukan di setiap kampung orang asli.
Turut dilancarkan, penubuhan Jawatankuasa Khas Komuniti Orang Asli Johor bagi menyelaras dan melaksanakan program pembangunan masyarakat.