fb fb fb fb fb

Johor salur RM11 juta bantu penduduk terjejas banjir

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Kerajaan Negeri Johor meluluskan peruntukan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah RM11.247 juta bagi meringankan beban penduduk terjejas banjir menjelang Aidilfitri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sejumlah RM3,000 akan diberikan kepada 3,749 ketua isi rumah yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebelum sambutan Hari Raya.

“Bantuan ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap mangsa yang terjejas, dan akan disalurkan sebelum perayaan agar dapat membantu persiapan keluarga terbabit,” katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.

Selain itu, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap peniaga Bazar Ramadan dan Aidilfitri yang terjejas di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), melibatkan 441 peniaga.

Kerajaan negeri juga bersetuju memberi pengecualian caj lesen oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk semua bazar Ramadan dan Aidilfitri kecuali sewaan tapak.

"Langkah ini memberi manfaat kepada 9,839 peniaga di 180 lokasi seluruh negeri Johor.

"Bagi infrastruktur awam, sebanyak enam masjid, 17 surau dan 43 institusi pendidikan termasuk sekolah agama dan sekolah rendah akan menerima bantuan baik pulih," katanya.

Penduduk terjejas banjir yang tidak mendaftar di PPS turut diberi peluang mengemukakan rayuan di pejabat daerah masing-masing untuk menuntut bantuan.

Inisiatif ini adalah hasil kerjasama Kerajaan Negeri Johor bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Pihak Berkuasa Tempatan dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

GRACE AISYAH KEDAYAN