
ISKANDAR PUTERI, 11 April – Kerajaan Johor memperuntukkan hampir RM500,000 kepada TBQ Amal bagi memperkasa usaha melindungi kanak-kanak sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.
- Kerajaan Johor meneruskan peruntukan tambahan RM200,000 kepada TBQ Amal tahun ini.
- Majlis Agama Islam Negeri Johor menyalurkan sumbangan bulanan RM12,500 kepada TBQ Amal sejak 2024.
- Kerajaan negeri komited memelihara kebajikan kanak-kanak dan menyeru peranan semua pihak dalam masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan itu diteruskan pada tahun ini menerusi peruntukan tambahan sebanyak RM200,000.
Selain itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor turut menyalurkan sumbangan bulanan berjumlah RM12,500 kepada TBQ Amal sejak 2024.
Menurut beliau, usaha berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan golongan kanak-kanak terus terpelihara, khususnya mereka yang berdepan cabaran kehidupan.
“Inilah apa yang kita boleh buat sebagai satu masyarakat. Dalam kerajaan, seperti tuan puan tahu, sebuah negeri maju memerlukan peranan semua pihak untuk membela mereka yang mungkin dalam keadaan mencabar serta berdepan dugaan berbeza-beza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis di Iskandar Puteri, Johor Bahru.