fb fb fb fb fb

Johor rekod 472,947 pemohon SPA, antara tertinggi dalam negara

JOHOR BAHRU, 17 Julai- Johor merekodkan antara jumlah pemohon temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tertinggi dalam negara, dengan 472,947 permohonan sepanjang 2020 hingga kini.

Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata daripada jumlah itu, 32,478 calon dijemput menghadiri temuduga.

Manakala 4,374 calon dilantik secara tetap dalam perkhidmatan awam, 2,639 pula secara kontrak.

Bagi meningkatkan mutu keselesaan semasa proses temu duga, SPA melancarkan Pusat Temu Duga SPA baharu, di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor, Johor Bahru.

Fasiliti dilengkapi bilik temu duga kalis bunyi, selain aplikasi temu duga secara maya, memastikan sistem pengambilan SPA lebih efisien dan efektif seiring kemajuan teknologi.

"Anak-anak negeri Johor, di sinilah tempat temu duga mereka, tidak payah nak berkunjung ke Putrajaya ataupun jika tidak boleh datang pusat temu duga, maklum kepada kita, kita boleh temu duga secara online (dalam talian).

"Malah mereka boleh cetak surat lantikan menerusi komputer...jika jawapan lulus, boleh cetak sendiri. Dalam 14 hari perlu beri 'respond', kemudian kita beri peluang seminggu lagi jika tiada balasan," katanya selepas merasmikan Pusat Temu Duga SPA, di sini hari ini.

(Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman)

Diangarkan 14,000 hingga 15,000 jawatan tetap diberikan SPA sepanjang tahun ini, manakala 25,000 hingga 30,000 penjawat awam bersara dalam tempoh setahun.

Lantikan akan dijalankan mengikut keperluan dan kekosongan jawatan di kementerian terlibat.

Zainal turut memaklumkan, lebih banyak pusat temuduga SPA akan dipindahkan ke UTC atas faktor kos efektif, selain kemudahan pengangkutan tersedia.

Media Baharu