fb fb fb fb fb

Johor peruntuk RM6 juta, naik taraf Hutan Bandar MBJB

Foto FB MBJB

JOHOR BAHRU, 30 Mei- Sebanyak RM6 juta diperuntukkan kerajaan Johor bagi menaik taraf Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebagai kawasan tumpuan pelancongan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, projek menaik taraf itu dibuat secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026. 

"Hutan Bandar kita ini bersebelahan dengan TMIYC (Tunku Mahkota Ismail Youth Centre) yang dibuka sebelah malam.

"Tetapi hutan bandar kita tengok malap.. di mana kita akan terangkan kawasan tersebut..dalam masa sama kita ada tempat 'water park' (taman tema air) untuk kanak-kanak.

"Selepas itu ada tempat 'camping' (berkhemah) yang tersusun dan dalam masa yang sama ada landskap hijau serta banyak tempat riadah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Insentif Khemah Usahawan Mikro di sini.

Kemudahan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan lampu pejalan kaki turut dipasang bagi memperkasa aspek keselamatan. 

Dalam majlis sama, kerajaan negeri turut mengumumkan untuk menyumbang 1,000 khemah tambahan kepada peniaga-peniaga kecil di seluruh Johor.

Ia merupakan kesinambungan daripada inisiatif pemberian 1,000 khemah yang telah diagihkan di beberapa buah daerah sebelum ini. 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM