Johor perkukuh ekosistem automotif baharu melalui projek AutoPark

Lee Ting Han (dua kanan) pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara Paragon Globe Berhad dan GSP Automotive Group di Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU, 30 Mac- Dua syarikat dalam sektor hartanah dan automotif melabur kira-kira RM1 bilion menerusi kerjasama strategik bagi pembangunan projek AutoPark di Iskandar Puteri, Johor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek AutoPark di Iskandar Puteri dijangka jadi pemangkin pembangunan kluster industri automotif baharu di selatan Johor.
  • Projek dilaksanakan secara berfasa dengan pelaburan awal dianggarkan sekitar RM300 juta.
  • Projek dijangka mewujudkan 600 hingga 700 peluang pekerjaan baharu.
  • Kerajaan Johor komited menyokong melalui inisiatif laluan pantas bagi memastikan kelancaran pembangunan.

Kerjasama antara Paragon Globe Berhad dan GSP Automotive Group itu dilaksanakan secara berfasa dengan pelaburan awal dianggarkan sekitar RM300 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata projek berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan kluster industri automotif baharu di selatan Johor, sekali gus memperkukuh ekosistem industri sedia ada.

Menurut beliau, projek itu juga bakal mewujudkan antara 600 hingga 700 peluang pekerjaan baharu.

“Usaha ini bertujuan membangunkan kluster industri baharu di Johor khususnya di bahagian selatan, memandangkan ketika ini belum wujud ekosistem alternatif yang setanding dengan negeri lain seperti Selangor dan Kedah,” katanya.

Tambah Lee Ting Han, Kerajaan Johor komited menyokong pelaksanaan projek berkenaan melalui inisiatif laluan pantas bagi memastikan kelancaran pembangunan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara Paragon Globe Berhad dan GSP Automotive Group di sini.