KUALA LUMPUR, 16 Jun- Kerajaan Negeri Johor bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan agensi persekutuan yang berkaitan sedang berusaha untuk meningkatkan kecekapan urusan pembangunan ladang ternakan ayam moden.
Menerusi satu kenyataan, MPC memaklumkan pembangunan itu akan dilakukan di Johor melalui transformasi peraturan.
Usaha tersebut termasuk sesi libat urus dan bengkel melibatkan pihak berkepentingan negeri, agensi persekutuan dan persatuan penternak ayam di Johor.
Antara cabaran yang menghalang penternak sedia ada untuk beralih kepada sistem tertutup adalah proses untuk mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) serta proses penukaran status tanah yang kompleks.
MPC komited memudahcara pelaksanaan peraturan lebih cekap dan tangkas supaya peraturan yang diwujudkan menyokong penternakan moden.
"Dengan memperkenalkan proses kelulusan yang lebih ringkas dan efisien, inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga memastikan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan,"menurut kenyataan tersebut.