
JOHOR BAHRU, 10 Februari – Kerajaan Johor melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bagi mengatasi gangguan bekalan air susulan paras sumber air mentah yang kini berada pada tahap kritikal.
- Perkuat operasi loji rawatan air dengan penyaluran tambahan dan sokongan teknikal untuk tingkatkan bekalan.
- Gerakkan lori tangki dan tangki air statik di Kluang serta Pontian untuk menampung keperluan penduduk terjejas.
- Laksanakan operasi pembenihan awan bersama agensi berkaitan untuk tingkatkan peluang hujan dan pulihkan sumber air.
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata operasi loji rawatan air diperkukuhkan dengan penyaluran tambahan sebanyak empat juta liter sehari daripada Loji Rawatan Air Yong Peng.
Jelasnya, pemasangan sistem pontun di Empangan Machap sedang dilaksanakan bagi menyalurkan sehingga 20 juta liter air sehari ke Sungai Benut, sekali gus menyokong operasi Loji Rawatan Air Simpang Renggam.
“Bagi memastikan keperluan penduduk terjejas terus terpelihara, sebanyak 28 lori tangki air kini digerakkan di Kluang dan Pontian. Selain itu, 14 lori tangki air tambahan dari luar Johor dijangka tiba hari ini, dengan sokongan 15 lagi lori dari negeri lain khusus untuk kawasan terlibat.
“Kerajaan negeri turut menempatkan 41 tangki air statik di sembilan lokasi di Kluang serta 32 lokasi di Pontian bagi menampung keperluan penduduk,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam usaha jangka pendek meningkatkan bekalan air, Operasi Pembenihan Awan dijadualkan berlangsung pada 11, 12 dan 15 Februari di Empangan Machap, Layang serta Ulu Sungai Sedili Kecil, dengan kerjasama NADMA, METMalaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia bagi meningkatkan peluang hujan.
“Saya sedar dan insaf bahawa segala usaha ini belum mampu menghilangkan sepenuhnya kesulitan yang dirasai. Tetapi percayalah, setiap agensi bekerja tanpa henti supaya tiada rakyat Johor yang dibiarkan tanpa bantuan.
“Dalam keadaan ini, saya memohon agar rakyat bersama-sama berjimat menggunakan air dan salurkan maklumat jika ada kawasan yang memerlukan perhatian segera.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT menurunkan hujan rahmat, memenuhkan kembali sungai dan empangan kita, serta mempermudahkan urusan rakyat Johor,” katanya lagi.