fb fb fb fb fb

Johor kurang kadar miskin tegar kepada 2,647

Datuk Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI, 19 Mei- Kerajaan Johor berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar daripada 4,378 ketua isi rumah kepada 2,647 dalam tempoh enam bulan, hasil usaha jawatankuasa khas yang ditubuhkan sejak tahun lalu. 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jawatankuasa khas itu juga menjalankan proses pemutihan bagi mendapatkan data terkini kadar miskin di negeri itu.

Dalam pada itu, peruntukan besar yang diterima Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dilihat mampu mencapai sasaran sifar miskin tegar selepas tahun 2025. 
 
"Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerima bayaran zakat sebanyak RM388 juta manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula telah diperuntukan sejumlah RM269 juta. Ini bermakna, sebanyak RM657 juta telah kita miliki untuk membantu mereka yang memerlukan," kata Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berharap semua wakil rakyat dapat membuat semakan status miskin tegar dalam kawasan masing-masing, bagi memastikan tiada keluarga yang tercicir.

Dalam titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail semasa pembukaan persidangan Dewan Negeri pada 9 Mei lalu, baginda menggesa agar status miskin tegar di Johor dapat disifarkan selepas tahun 2025.

Semua Ahli Dewan Negeri juga diminta untuk turun padang dan mengenal pasti kawasan masing-masing dalam tempoh 19 bulan akan datang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI