KOTA TINGGI, 24 Ogos - Kerajaan Johor mengambil pendekatan berhemah dalam menangani kes buli melibatkan seorang murid tahun empat yang dilaporkan di sebuah sekolah agama di Johor Bahru, Februari lalu.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung siasatan kes oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Di peringkat sekolah, pelajar terbabit telah diasingkan sementara sebagai langkah pemulihan dan pemantauan.
"Kita telah mengasingkan pelajar-pelajar terlibat dan pada masa yang sama, mereka diberikan kaunseling dan taklimat tentang kesalahan mereka, supaya mereka sedar apa yang mereka lakukan ini adalah salah," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Johor telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Antibuli bagi menangani isu buli dalam kalangan pelajar.
Hasilnya kempen antibuli akan digerakkan ke semua sekolah, termasuk sekolah kebangsaan dan sekolah agama bermula esok, manakala kes-kes buli akan terus dipantau oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh PDRM.