fb fb fb fb fb

Johor catat penurunan pelupusan sisa makanan pada minggu pertama Ramadan

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor

KULAI, 14 Mac - Johor merekodkan penurunan pelupusan sisa makanan pada minggu pertama Ramadan dengan 3,223 tan sisa makanan dilupuskan setiap hari berbanding 4,559 tan dalam tempoh sama tahun lalu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, perkembangan itu hasil daripada inisiatif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menjalankan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran.

Kempen dijalankan bagi mengurangkan sisa makanan yang dilupuskan di tapak pelupusan selain mengurangkan pembaziran makanan.

Selain itu, sebanyak 1,585 kilogram makanan telah dikumpulkan daripada 29 Bazar Ramadan seluruh negeri setakat ini menerusi program MySaveFood@Ramadan.

"Maknanya peniaga-peniaga, gerai-gerai yang dia tidak dapat menjual barang-barang dia, akan menggunakan SWCorp akan uruskan pengedaran ke masjid-masjid ke surau ke sekolah sekolah untuk diberi percuma," kata Jafni.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran di Bazar Ramadan Bandar Putera, di sini.

Anjuran tahun lalu menyaksikan MySaveFood@Ramadan mengumpul 3,265 kilogram lebihan makanan daripada 51 Bazar Ramadan seluruh negeri.

TETITIA YUSOFF