fb fb fb fb fb

Johor benar rapat sejadah tanpa sentuhan bermula Jumaat ini

JOHOR BAHRU, 28 Mac - Pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau di Johor dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah dalam fasa peralihan endemik dibenarkan bermula 1 April ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata kebenaran diberikan kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin, dan perlu membawa sejadah sendiri.

Solat Sunat Tarawih pula dilaksanakan 20 rakaat manakala tiga rakaat bagi solat sunat witir.

Bagaimanapun, tiada sebarang aktiviti sosial dibenarkan di masjid dan surau seperti memasak atau bermalam.

(Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dalam sidang media
Majlis Jalinan Kasih bersama pengamal media dan pengumuman kadar zakat fitrah)

Sementara itu, kadar zakat fitrah masih sama seperti tahun lalu iaitu 7 ringgit dan 10 ringgit.

"Kita sudah buka tiga kaedah dan ia adalah bentuk pilihan kepada orang Johor dengan mengambil kira keadaan semasa. Sudah pasti pembayaran dalam talian digalakkan untuk menjaga kemaslahatan kesihatan," katanya selepas Majlis Jalinan Kasih bersama pengamal media dan pengumuman kadar zakat fitrah, di sini.

Katanya, seramai 1,648 amil bertauliah dilantik bagi menjalankan tugas mengutip zakat fitrah di seluruh negeri itu tahun ini.

Media Baharu