KUALA LUMPUR, 4 Februari- Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyeru ahli Dewan Rakyat agar mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memberi teladan yang baik kepada rakyat.
Menurut Johari, ahli Dewan Rakyat juga perlu terus mematuhi peraturan majlis mesyuarat yang ditetapkan semasa bersidang.
Ini selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15, semalam.
"Sebentar tadi, kita telah berikrar untuk mencapai lima prinsip Rukun Negara dan saya berharap ahli Yang Berhormat dapat menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat serta mempamerkan kematangan dalam berpolitik.
"Ini termasuk menjaga kesopanan dan kesusilaan seperti yang diikrarkan di dalam dewan ini.
"Selain itu, titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, telah memberi peringatan kepada ahli-ahli berhormat mengenai peranan ahli Yang Berhormat.
"Saya dan timbalan akan mengambil tindakan jika ahli Yang Berhormat tidak mematuhi syarat," katanya pada pemahsyuran Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di sini.