fb fb fb fb fb

JKNT tubuh jawatankuasa bebas siasat punca bayi meninggal

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 20 September - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas untuk menyiasat dakwaan kecuaian petugas wad bersalin di Hospital Dungun, Terengganu susulan kematian seorang bayi.

Siasatan dibuat setelah satu hantaran daripada akaun media sosial 'Matdan The Great (@rushashraf)' yang tular sejak 17 September lalu.

Pengarah JKNT, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pemilik akaun mengkritik mutu perkhidmatan yang diberikan kepada adik dan anak saudaranya yang baru lahir.

"Siasatan awal mendapati bahawa adik pengadu dimasukkan ke wad bersalin pada 16 September 2024 dan melahirkan bayi secara normal pada pukul 5.08 pagi.

"Namun, bayi tersebut mengalami masalah pernafasan dan telah diberikan rawatan awal untuk menstabilkan mangsa sebelum dipindahkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU)," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dr Kasemani berkata, malangnya selepas 40 jam dirawat di NICU, bayi itu tidak dapat diselamatkan.

Dr. Kasemani memaklumkan bahawa punca kematian masih disiasat, dan JKNT memandang serius dakwaan yang dibuat oleh pengadu.

JKNT turut mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN