JKM salur RM3.1 bilion kepada lebih 500,000 golongan rentan tahun lalu

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri

PUTRAJAYA, 9 Mac – Lebih 500,000 klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima bantuan kewangan bulanan berjumlah RM3.1 bilion bagi membantu meringankan beban kos sara hidup golongan rentan di seluruh negara pada tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKM menyalurkan bantuan kewangan bulanan kepada golongan rentan bagi meringankan kos sara hidup di seluruh negara.
  • Kerajaan menyalurkan RM19.5 juta kepada 204 Pusat Sukarelawan Kebajikan untuk menyediakan jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada klien.
  • JKM menyediakan institusi jagaan bagi kanak-kanak, warga emas dan OKU, memastikan perlindungan dan pemulihan kepada penghuni.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata bantuan itu disalurkan kepada kumpulan sasar termasuk golongan berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak yang memerlukan sokongan kebajikan.

“Sehingga kini JKM telah menyalurkan lebih RM3.1 bilion bantuan kewangan bulanan kepada lebih 500,000 penerima selain menyediakan pelbagai perkhidmatan perlindungan, pemulihan dan institusi jagaan untuk kanak-kanak, warga emas serta OKU di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ihya’ Ramadan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama kumpulan sasar JKM 2026 di sini pada Isnin.

Nancy berkata kerajaan melalui KPWKM dan JKM turut menyalurkan RM19.5 juta kepada 204 Pusat Sukarelawan Kebajikan (PSK) di seluruh negara yang menyediakan kemudahan jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kumpulan sasar.

Menurut beliau, inisiatif itu memberi manfaat kepada 6,292 klien yang menerima sokongan kebajikan dan perkhidmatan pemulihan melalui pusat berkenaan.

Beliau berkata JKM juga menyediakan kemudahan institusi jagaan kepada kumpulan sasar termasuk 39 institusi kanak-kanak yang menempatkan 1,808 penghuni, 12 institusi warga emas dengan 1,202 penghuni serta 10 institusi OKU yang menempatkan 1,094 penghuni.

Nancy berkata pelaksanaan pelbagai bantuan dan perkhidmatan kebajikan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan golongan rentan terus mendapat perlindungan sosial dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Pada majlis sama, sebanyak 200 bakul makanan serta sumbangan duit raya turut diagihkan kepada kumpulan sasar hasil kerjasama dan sokongan sektor korporat.