fb fb fb fb fb

JKM Perak lebih tegas banteras aktiviti mengemis di bazar

Salbiah Mohamed (dua kanan)

IPOH, 29 Mac- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak akan menjalankan pemantauan berterusan termasuk menggunakan pendekatan lebih tegas bagi membanteras aktiviti mengemis di bazar Ramadan seluruh negeri itu. 

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan polis bagi memastikan tiada sebarang aktiviti mengemis dilakukan oleh pihak sindiket.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai yang ingin memberi sumbangan supaya menggunakan ia menerusi saluran yang betul. 

"Memang kita buat pemantauan mengenai perkara-perkara ini yang berkaitan dengan gelandangan ataupun pengemis- pengemis yang mengutip (sumbangan) terutama sewaktu bulan Ramadan (dan) ia memang di bawah tindakan JKM.

"Kita akan maklum pada polis, kita pun ingatkan kepada orang ramai, kalau benar-benar kita nak menginfakkan harta ataupun beri sedekah... gunakan saluran yang ada, saluran betul. Kita ada banyak rumah-rumah anak yatim, pergilah sedekah di sini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Iftar Kasih Sejahtera bersama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, sebanyak 10 rumah anak yatim dan PEYATIM menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri Perak berjumlah RM1,000.

SITI AISHAH MD ISA