fb fb fb fb fb

JKM buka PPS di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights

Foto Facebook Masjid Putra Heights

KUALA LUMPUR, 1 April- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor mengaktifkan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa yang terkesan Susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

KPWKM dalam satu kenyataan memaklumkan setakat pukul 1.00 tengah hari, seramai 49 mangsa terdiri daripada 17 keluarga telah ditempatkan di PPS itu.

"Mangsa yang ditempatkan di PPS akan diberikan kemudahan makanan, set kebersihan diri, kelengkapan untuk tidur dan air minuman serta kudapan untuk memberikan keselesaan kepada mereka," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu KPWKM melalui JKM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia dalam memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa berada dalam keadaan selamat dan terjaga.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mendekati kawasan kejadian dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

Bagaimanapun mangsa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Kasih KPWKM yang beroperasi 24 jam sehari melalui Talian Bebas Tol 15999, Aplikasi WhatsApp di nombor 019-26 15999 atau Aplikasi Mudah Alih Talian Kasih.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI