PUTRAJAYA, 9 Januari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merekodkan kutipan hasil tertinggi tahun lepas dengan kutipan sebanyak RM65.67 bilion.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kutipan hasil tersebut terdapat peningkatan sebanyak 18.85 peratus berbanding tahun 2023.
Katanya, kutipan hasil tersebut juga melepasi unjuran hasil semakan semula Kementerian Kewangan iaitu RM61.17 bilion tahun lepas.
"Ini merupakan kutipan hasil yang tertinggi pasca pandemik dan mencerminkan usaha berterusan JKDM dalam memperkukuhkan kutipan hasil negara melalui pemerkasaan, penguatkuasaan, pematuhan cukai serta inisiatif digitalisasi yang lebih efisyen," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyasarkan kutipan sebanyak RM67.25 bilion pada tahun ini selaras dengan ketetapan Kementerian Kewangan dalam Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya.