MACHANG, 20 Mac- Sebanyak enam tan ayam beku tiada permit import dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dalam satu serbuan di sebuah syarikat menjual ayam gunting di Machang.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long menerusi satu kenyataan hari ini berkata, serbuan pada Isnin lalu itu dilakukan hasil maklumat Cawangan Risikan Zon Timur mengenai sindiket penjualan ayam beku tanpa permit import.
Jelas beliau, rampasan 400 paket ayam beku terbabit dianggarkan bernilai RM90,000 di pasaran tempatan dengan kehilangan nilai duti berjumlah RM36,000.
"Modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan menggunakan laluan Sungai Golok melalui pengkalan-pengkalan haram yang diangkut menggunakan kenderaan dan kemudian disimpan di premis-premis penyimpanan sebelum digunakan sebagai produk ayam gunting keluaran syarikat terbabit.
"Seorang suspek telah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,"katanya dalam kenyataan tersebut.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak kurang dari 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 40 kali nilai barang atau RM 1 juta yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali kedua atau selepasnya.
Wan Jamal Abdul Salam turut menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.