fb fb fb fb fb

‘Jinuo’ terima Pingat Penghargaan Ketua Polis Johor atas kejayaan bantu siasatan kes jenayah

JOHOR BAHRU, 26 Januari- Seekor anjing dari Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dianugerahkan Pingat Penghargaan Ketua Polis Johor, atas kejayaan mengesan peranti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dibawa lari penjenayah di Kulai pada tahun lepas.

Anjing baka German shepherd berusia 12 tahun bernama Jinuo itu menerima pingat daripada Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan dikalungkan Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar.

Pengendalinya, Sarjan Donny Henry berkata, Jinuo yang baharu bersara itu berjaya mengesan dua alat peranti CCTV dalam semak, seterusnya menyelesaikan kes samun mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Semasa kejadian Jinuo mencari barang untuk kes samun di Kulai di mana penyamun tersebut mencabut dan membuang peranti CCTV ke dalam semak. Jinuo berjaya jumpa peranti tersebut.

Terlalu banyak kes-kes yang sudah dibantu Jinuo untuk diselesaikan.” Katanya selepas menerima pingat berkenaan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor, Januari 2023 di IPK Johor.

(Sarjan Donny menunjukkan Pingat Penghargaan Ketua Polis Johor diterima Jinuo)

Anjing seberat 35 kilogram itu sudah berkhidmat dengan IPK Johor sejak 2012 dan banyak membantu siasatan kes jenayah.

Seekor lagi anjing baka Belgium Sherperd diberi nama Ma'te, berusia sembilan tahun, turut dianugerahkan Pingat Penghargaan Ketua Polis Johor, atas kejayaannya mengesan lokasi pembakaran pakaian suspek dan satu kes pembunuhan tahun lepas.

Dua lagi anjing Unit K9, Mailo dan Julius pula menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Johor pada majlis sama.

Media Baharu