fb fb fb fb fb

Jimat belanja raya rebut peluang promosi dua bulan sebelum Ramadan

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Mac - Rancang perbelanjaan sebaik-baiknya, dengan membuat persiapan beberapa bulan awal sebelum menyambut perayaan, khususnya Hari Raya Aidilfitri, kata Pensyarah Kanan, Universiti Malaya (UM) Dr Zarinah Yusof.

Menurut beliau, dengan melakukan persediaan awal, secara tidak langsung mendorong orang ramai untuk, berjimat serta bijak berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan.

"Sebenarnya, seawal ini maksudnya adalah beberapa bulan, bukannya sebulan sebelum puasa. Beberapa bulan sebelum ini iaitu kalau kita perhatikan sebelum Ramadan ada banyak jualan promosi baju raya.

"Stok-stok lama masih cantik serta premium dan dijual pada harga yang murah. Jadi kita boleh merebut peluang ini.

"Jadi kita berbelanja pada saat ini dan kita dapat berjimat. Bukannya sebulan sebelum raya. Mungkin promosi ini adalah beberapa bulan sebelum Ramadan.

"Kebanyakan peniaga, mereka memang akan buat jualan promosi untuk mengurangkan stok barangan-barangan yang lama sebab mereka ada stok baru.

"Kadang-kadang mereka jual pada harga sangat rendah, dan kita patut rebut peluang ini," katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang bersiaran secara langsung menerusi TV1 di Wisma Berita, Angkasapuri di sini hari ini.

Menurut Dr. Zarinah, selain itu pengguna boleh mendapatkan maklumat promosi jualan melalui pelbagai platform media sosial seperti Tik Tok, Instagram, Facebook, Shopee, Lazada dan banyak lagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN