fb fb fb fb fb

JIM tunggu laporan penuh EAIC berhubung etnik Rohingya lolos

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Jabatan Imigresen (JIM) menunggu laporan penuh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung siasatan terhadap tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri daripada Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB), Perak pada 1 Februari lepas.

Perkara itu bagi melaksanakan tindakan lanjut berhubung kejadian itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata, JIM memandang serius penemuan hasil siasatan EAIC berikutan terdapat unsur kekerasan, penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan, oleh beberapa pegawai JIM bermula 2020 hingga 2021.

"JIM tidak akan berkompromi terhadap apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pegawai.

"Sekiranya didapati terdapat unsur-unsur kekerasan dan penderaan, JIM akan mengambil tindakan keras terhadap pegawai-pegawai tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Semalam, EAIC mendapati kekerasan melampau dan penderaan adalah antara punca 131 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari DISB, Perak pada 1 Februari lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI